Romancecar ke Hakone

Arakian hari ke-6 di Jepun, ke Hakone lah kita. Hakone sebuah kawasan bergunung-ganang; 90 km dari pusat Tokyo. Tempat ini agak kampung bagi aku. Bahkan jika kekampungan itu diukur melalui populasi, Sekinchan di Selangor lebih meriah dihuni manusia. Contoh pada 2011, populasi Sekinchan adalah 30,0000 orang. Tapi Hakone pada 2012 cuma 13,492 orang sahaja.

Jadi kenapa ke Hakone? Sebab dari Hakone sudah boleh hidu bau-bau bacang angin bayu Gunung Fuji.

Di Hakone juga ada gunung berapi. 800 tahun dia tidur dibaluti mimpi. Malangnya waktu aku datang April lepas, dia sudah terjaga setahun. Bahananya, satu kawasan tumpuan (Owakudani) di gunung ini, semua kelibat manusia diharamkan singgah demi keselamatan.

Mujurlah dia cuma bangun-bangun ayam. Kalau dia terjaga dan lantas meletus, tak dapatlah aku ziarah tanah Hakone yang telah pun tersenarai sebagai UNESCO Geopark.

Apa pun, kehadiran gunung berapi menjadikan Hakone syurga kolam air panas. Dan inilah antara sebab lain kenapa mesti ke sini.

Romancecar adalah keretapi ulang-alik laluan Shinjuku-Hakone. Kalau nak jimat, boleh ambil keretapi biasa yang berhenti di setiap stesen. Cuma belum tentu dapat tempat duduk. Kalau dapat pun belum tentu selesa sebab perjalanan jauh.

Waktu ke Hakone, aku pilih Romancecar model VSE. Ini model paling hebatlah kiranya. Abang drebar pun ada bilik khas di tingkat atas. Semua tengah kagum tengok abang drebar naik ke atas untuk memulakan perjalanan.

Ini "Observation Deck". Kira lagi luaslah mata memandang kalau duduk di kawasan ni. Malangnya aku lambat sikit tempah online, jadi tempat ke belakang sedikitlah adanya.

Walaupun namanya "Romancecar", hakikatnya tiada apa yang romantis melainkan dapat tempat duduk yang selesa. Ruang kaki dia aku rasa lagi luas sikit kalau banding dalam pesawat MAS. 

Ada pramugari jual makanan dan minuman. Tangkap gambar dari belakang je la. Nanti kalau dari depan, takut ada yang termimpi teringatkan dia.

Kalau menuju ke Hakone, pilih tempat duduk sebelah kanan sebab di bahagian ini terletaknya Gunung Fuji. Kebetulan cuaca hari tu baik. Maka boleh nampak Gunung Fuji dengan jelas lagi nyata.

90 minit perjalanan tanpa henti, maka sampailah di Hakone. Ni lah rupa depan Romancecar model VSE. Abang drebar duduk di bahagian cermin atas tu.

Ok, terus sambung cerita perjalanan pulang semula ke Tokyo dengan Romancecar. Ini stesen keretapi utama di Hakone, iaitu Stesen Hakone-Yumoto yang merupakan stesen terakhir. 

Keretapi jenis tambang mahal sahaja ada tukang bersih sudah sedia menanti. Rutin mereka: Tunduk hormat bila keretapi tiba. Bila semua penumpang dah keluar, bersihkan dalaman keretapi cepat-cepat. Aku balik ke Tokyo naik Romancecar yang dalam gambar ni, iaitu model LSE.

Aku rasa orang Jepun pun sangat teruja dengan segala macam model keretapi yang mereka ada. Macam pakcik ni, dari dia masuk sampai dia keluar, tak habis-habis tangkap gambar keretapi ni.

Hujan, angin dan kabus mengiringi kepulangan ke Tokyo semula. Malamnya nak balik semula ke KL dah. Eh, travelogue ni belum habis lagi ye. Ada dalam 3 atau 4 episod lagi. Harap jangan muntah.


// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/980005195439244
Romancecar ke Hakone Romancecar ke Hakone Reviewed by Reazal Lazaer on 4:05:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.