Hachiko: Setia Hujung Nyawa

Suatu hari aku temankan isteri dalam misi mencari tudung di Jalan TAR. Dalam 5 jam lebih juga dengan sabarnya tanpa sebarang keluhan, menjadi peneman misi yang sangat penting bagi setiap insan bernama wanita. Aku sangkakan kisah ini sudah cukup agung untuk diceritakan kepada anak-anak aku nanti tentang kesabaran bapak mereka.

Rupa-rupanya aku tersilap setelah aku mengenali Hachiko yang merupakan seekor anjing yang dibela oleh Profesor Ueno.

Hachiko adalah simbol kesetiaan bagi rakyat Jepun. Hari-hari Hachiko akan tunggu tuannya pulang pada waktu petang di Stesen Shibuya. Dijadikan cerita, Profesor Ueno telah meninggal dunia sewaktu mengajar di Universiti Tokyo.

Hachiko yang tidak menyedari akan tragedi ni, lantas berterusan menanti kepulangan tuannya di Stesen Shibuya. Setiap hari, selama lebih 9 tahun, Hachiko terus menanti tanpa kenal erti jemu.

81 tahun yang lampau, penantiannya terhenti apabila Hachiko menghembuskan nafas yang terakhir.

Kematian Hachiko pada 1935 menyedihkan seantero Jepun. Maka terbinalah sebuah tugu peringatan di salah satu pintu keluar Stesen Shibuya (Hachiko Exit), betul-betul di hadapan Shibuya Crossing.

Sebenarnya ini tugu peringatan yang kedua, dibina pada 1948. Tugu peringatan pertama dibina pada 1934, iaitu sewaktu Hachiko masih hidup. Tapi dah tak ada lagi sekarang.

Hachiko berhak mendapat "happy ending". Jadi pada 2015, sebuah lagi tugu peringatan Hachiko dibina di Universiti Tokyo, iaitu tempat Profesor Ueno mengajar.

Hachiko dan Profesor Ueno. Berdua bersatu.

Shhh...jangan kacau mereka. Banyak benda mereka nak bincangkan tu setelah 90 tahun tak berjumpa.


// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL: 
https://www.facebook.com/reazalx/posts/859339387505826
Hachiko: Setia Hujung Nyawa Hachiko: Setia Hujung Nyawa Reviewed by Reazal on 5:59:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.