Keusangan Bandar Lama Kuala Rompin

Agak lama aku pekasamkan niat menerjah mana-mana "ghost town" atau pun pekan mati. Tapi Malaysia kita ini kecil sahaja. Kebarangkalian untuk wujudnya pekan mati agak rendah. Tidak seperti di Amerika, berbondong-bondong pekan mati ada di sana kerana negaranya luas. Ditambah lagi dengan faktor akar sejarah sosio-ekonomi Amerika yang jauh lebih menjalar sewaktu dan selepas berlakunya Revolusi Perindustrian.

Jadi persoalannya, wujudkah pekan mati di Malaysia?

Ia bergantung kepada bagaimana kita mahu menakrifkan konsep "pekan mati". Jikalau "pekan mati" bermaksud tempat itu hampir sudah tidak dihuni langsung oleh makhluk bernama manusia, maka hasil siasatan ringkas aku mendapati Semenanjung Malaysia memang tiada pekan mati. Sabah Sarawak aku tak pasti. Ada sekurang-kurangnya 2 tempat di Semenanjung yang boleh dijamah secubit suasana seram dan keramat sebuah pekan mati yang sebenar.

Pertama di Kampung Kepayang, Perak. Siapa yang menggunakan Jalan Persekutuan 1 untuk menuju ke Ipoh dari arah selatan, pasti akan membelah sebuah deretan kedai tinggal yang sangat usang di kawasan Gopeng. Kedai-kedai ini mendapat status "mati" kerana ia duduk tercegat betul-betul di sebelah jalan utama yang tidak pernah lekang dengan arus kesibukan; lantas membuatkannya tidak lagi betah untuk terus beroperasi di situ. Ada juga khabar angin seram mendakwa sering berlaku kejadian sihir santau di pekan ini, yang akhirnya membuatkan orang ramai takut mahu ke sana lagi.

Jadi pada pendapat aku, Kampung Kepayang yang terletak cuma 8 KM dari Ipoh, bukanlah sebuah pekan mati yang ideal kerana hanya kedai-kedai itu sahaja yang kena tinggal. Rumah-rumah orang kampung di sekitarnya masih lagi berdiri meriah dihuni manusia; dan bukannya dihuni oleh jin syaitan, hantu jembalang atau pun mat pet ketagih gam kasut.

Tempat kedua pula bernama Bandar Lama Kuala Rompin di Pahang. Berbanding Kampung Kepayang, bagi aku Bandar Lama ini lebih rasa "matinya" kerana lokasinya yang terpencil dari jalan utama dan amat jauh dari bandar besar.

Al-kisahnya suatu masa dahulu sekitar tahun 60 & 70-an, di Bandar Lama inilah golongan muda dan tua, si uda dan dara, merayakan kehidupan mereka. Di sinilah orang-orang asal Kuala Rompin atau pun dari luar, sibuk membeli-belah, berhibur dan mencipta kenangan indah dan sedih di sebalik celah, liku dan lorong yang menempatkan lebih 50 buah kedai di zaman keemasannya.

Aku boleh membayangkan pada waktu itu, Bandar Lama ini ibarat Bukit Bintang atau KLCC bagi penduduk Lembah Klang. Kedai-kedai kopi mungkin sentiasa ligat memutarkan piring hitam lagu Dara Pujaan nyanyian L Ramli untuk menghiburkan pelanggan. Tetuang udara di sebuah hotel di situ pula sering memainkan koleksi lagu meletop irama pop yeh-yeh dendangan Raden Jeffrydin. Ada kucing lapar mengiau-ngiau manja kepada sekumpulan lelaki muda yang sedang melepak di bawah pokok sambil mengelap Vespa, sementara menanti kelibat anak dara jelita untuk dipikat.

Namun sayang seribu kali sayang. Kini Bandar Lama Kuala Rompin sudah terlajak nazak. Hanya tinggal beberapa buah kedai sahaja yang sedang menghitung hari menanti detik ajalnya menyembah bumi. Ada juga beberapa lot kedai yang sudah hangus dijilat api. Sebuah pawagam yang setia menghiburkan penonton pada waktu itu, kini tiada apa lagi yang tersisa melainkan tapak tanahnya sahaja. Sebelum saki-baki kemakmurannya dilanyak oleh jentolak, sekurang-kurangnya aku sudah pernah mengabadikan memori di sini.

Jika difikirkan memang sayu apabila yang gemilang akhirnya terbuang jua. Namun bila direnung kembali, sedangkan keagungan Kota Babylon boleh lenyap, apatah lagi sebuah pekan kecil seperti Bandar Lama Kuala Rompin yang tidak pernah tercatat pun kisah sepak terajangnya di gelanggang sejarah dunia.

Tidak perlu kita bermelankoli kepada roda kehidupan yang sentiasa berjanji bahawa yang di atas takkan selamanya di atas.

Dan janji itu tidak pernah dimungkiri.

Lokasi bagus untuk fotografi. Waktu aku datang, ada sepasang pengantin baru selesai bergambar.

Mui Chew Hotel. Hotel bajet dua tingkat. Di sebalik pintu masuk, ada sebuah pintu lagi yang berkunci.

Hotel 1-Bintang zaman sekarang pun tak ada yang berdinding papan. Klasik!

Suasana di sini seperti dalam drama zombie popular "The Walking Dead". Oh, abaikan kambing hitam yang tiba-tiba nak tumpang masuk gambar.

Terkejut koi. Koi ingat ada zombie datang dari arah belakang. Maklumlah, sunyi tempat ni. Cuma sesekali dikejutkan oleh motor dan kereta yang mendatang.

// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL:
https://www.facebook.com/reazalx/posts/821036438002788
Keusangan Bandar Lama Kuala Rompin Keusangan Bandar Lama Kuala Rompin Reviewed by Reazal on 11:40:00 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.