Monsun, Mersing & Kuala Rompin

Bila lahir dan membesar di Pantai Barat, belajar juga di Pantai Barat, berkahwin pun dapat orang Pantai Barat, memanglah tak ada idea langsung bagaimana derasnya tiupan angin laut musim tengkujuh di Pantai Timur. Memang pernah berziarah ke sana sebelum ni, tapi itu bukan waktu monsun melayangkan salamnya.

Dan tak sangka pula kunjungan aku ke jajaran Mersing-Kuala Rompin di waktu monsun hampir melabuhkan tirai, telah disergah oleh tiupan angin maha kuat, terutama di bahagian pantainya. Kalau ikut cakap satu akak kedai jual tudung, katanya sebelum ini cuaca molek dan indah belaka. Entah kenapa tiba-tiba hari ini langitnya bermuram durja.

Punah harapan aku yang kononnya nak main layang-layang seraya angin bayu Laut China Selatan meniup-niup lembut helaian rambut. Nak main layang-layang apa bendanya bila aku nampak pembentukan belalai air kecil tak jauh dari aku berdiri.

Musnah juga impian untuk duduk-duduk atas tikar di bawah pohonan rhu sambil menikmati keropok lekor asli cap Haji Puteh. Sudahnya aku makan keropok lekor dalam kereta sahaja. Boleh kalau berdegil nak makan di tepi pantai, tapi kuatnya angin sampai pasir boleh terbang meninggi masuk ke mulut dan mata.

Namun di sebalik musibah tengkujuh salah masa ni, ada juga terselit tempoh tenangnya. Di waktu itulah aku cuba menghargai keindahan bumi Mersing dan Kuala Rompin, lantas menginsafi betapa lemahnya kudrat manusia tatkala alam mempamerkan sekelumit kuasanya.

Fuh, boleh tahan berfalsafah kali ni!

Sesudah hujan teduh.

Di sebelah kiri binaan "MERSING", ada "DATARAN AIR PAPAN". Aku tak tahulah siapa buat dulu, tapi Pantai Losari di Makassar, Indonesia pun ada binaan arca huruf sebegini.

Jarang boleh rasa angin sekuat ni kalau di Pantai Barat. Air yang sepatutnya cantik membiru, dah jadi warna air bah.

Pantai yang tidak bernama. Tak jauh dari Pantai Air Papan dan berdekatan Hutan Simpan Gunung Arong. 

Sebuah buaian di Teluk Gorek.

Seriau juga aku kalau adik ni tetiba kena tarik ombak deras.

Keakraban di gigi badai.

Tanjung Resang yang bersambung dengan Teluk Gorek. Antara tempat tumpuan aktiviti rekreasi air. Waktu ni hujan agak lebat dan gambar ditangkap dari dalam kereta sebenarnya. Tapi brader-brader ni masih ralit bermain bola tampar.

Pantai Penyabong. Tak jauh dari Endau. Angin di sini paling kuat sepanjang aku di Mersing; sampai boleh terhenti sejenak semasa berjalan. Aku takut ter-terbang masuk ke laut je. Kalau tak kerana keganasan angin, pantai ni katanya menjanjikan laut hijau kebiruan.

Bila berjiran dengan laut, banyak jugalah taman permainan tepi pantai yang ada di sepanjang perjalanan 30km dari Mersing ke Endau.

// Roman Jalanan © 2016
---

POS ASAL:
Monsun, Mersing & Kuala Rompin Monsun, Mersing & Kuala Rompin Reviewed by Reazal on 1:56:00 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.